SIMANGGANG: Kira-kira 200 peserta telah menyertai Fun Ride Benak sejauh 26 kilometer (km) baru-baru ini bersempena Pesta Benak 2024 yang dijadual pada 29 November hingga 1 Disember nanti.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis hadir melepaskan peserta bermula dari Tebingan Sri Aman sehingga ke Simpang Kampung Skait dan tamat di Tebingan Sri Aman.

Dalam ucapannya Harden merakamkan ucapan terima kasih kepada para peserta Fun Ride Benak yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk ahli Kelab Berbasikal Sri Aman.
“Untuk makluman semua, program Fun Ride Benak ini adalah pembuka tirai sempena Pesta Benak yang dijadualkan pada29 November hingga 1 Disember 2024 nanti.
“Program Fun Ride Benak ini dirangka serta dibincangkan oleh pihak Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2024 bersama Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan atau MYSED Sri Aman dan Kelab Berbasikal Benak Sri Aman.
“Objektif program ini ialah sebagai gerakan membudayakan sukan untuk kesejahteraan dan kesepaduan rakyat Sarawak,” katanya.
Tambah Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, selain acara berbasikal, turut diadakan aktiviti kecergasan senam sihat yang selepas perlepasan Fun Ride Benak.
Selain itu, terdapat juga hadiah cabutan bertuah yang telah disediakan oleh pihak MYSED dan daripada Kelab Basikal Benak Sri Aman.
Dalam pada itu, selain program Fun Ride Benak 2024 ini, pada tarikh 3 November 2024 nanti akan diadakan Benak Road Trail Run yang juga merupakan salah satu program kerjasama bersama Jawatankuasa Induk Pesta Benak.
Sehubungan itu, Harden berharap orang ramai akan hadir pada tarikh tersebut serta program lain sebelum Pesta Benak 2024.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Marzuki dan Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.