2,500 sertai Benak Road Trail Run

SIMANGGANG: Kira-kira 2,500 peserta telah menyertai Benak Road Trail Run anjuran Sokanjaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman sempena Pesta Benak Sri Aman 2024 di Tebingan Sri Aman baru-baru ini.

Program Benak Road Trail Run yang dianjurkan itu menandakan bermulanya acara Pesta Benak Sri Aman 2024 pada tahun ini yang berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember ini.

Benak Road Trail Run kali ini dibahagikan kepada jarak 10 kilometer (KM) kategori Terbuka dan Veteran Lelaki dan Wanita serta 5 KM untuk kategori Fun Run.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis telah hadir melepaskan peserta bermula dari Tebingan Sri Aman.

Beliau berkata acara Benak Road Trail Run merupakan acara larian yang terbuka kepada seluruh warga Sri Aman dan luar kawasan. Seramai 2500 peserta telah melibatkan diri dalam acara larian pada tahun ini.

“Acara yang dianjurkan setiap tahun ini menjadi simbolik menandakan temasya utama bagi Bandar Simanggang iaitu Pesta Benak bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Program ini juga diiktiraf sebagai platform untuk mempromosikan Pesta Benak ke peringkat lebih tinggi kepada peserta pada bila-bila masa,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata beliau berbangga melihat sambutan positif daripada masyarakat di situ diatas penganjuran acara tersebut.

Turut hadir ialah ADUN Lingga, Dayang Nooraazah Awang Sohor; ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Pemangku Residen Sri Aman, Mahra Salleh dan Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Minjo Simanding.

Back To Top