Jadikan sukan satu kerjaya pada masa depan

SPAOH: Pelajar boleh menjadikan sukan sebagai satu kerjaya pada masa depan kerana bidang tersebut mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka bergelar atlet bertaraf profesional.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, tidak ramai yang sedar bahawa sukan juga boleh menjamin masa depan cerah dengan syarat ia harus dilakukan dengan betul.

“Jadi, saya sarankan pelajar beri tumpuan dan perhatian kepada cita-cita mereka bermula dari sekarang. Jika mahu jadi atlet profesional, usahakan dan anak-anak boleh pergi jauh kerana kita ada sekolah sukan.

“Bagaimanapun, jangan abai pendidikan kerana apa juga kerjaya diceburi harus seiring dengan pencapaian akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Supa di Padang Bola Sepak SK Supa dekat sini hari ini.

Dr Richard berkata kemahiran sukan yang ada pada pelajar boleh dipupuk lebih awal supaya sukan tidak hanya dilihat sebagai satu permainan sekadar suka-suka tapi sebaliknya menjadi sumber pendapatan.

Justeru itu, beliau mahu para pelajar mengambil peluang kejohanan ini sebagai batu loncatan untuk mengasah bakat, agar pihak sekolah mampu melatih untuk menjadi atlet yang berkebolehan bagi mewakili sekolah, daerah ataupun negara satu masa kelak seperti atlet-atlet lain yang telah membanggakan nama negara masa kini.

Back To Top