SIMANGGANG: Para pelajar boleh menjadikan sukan sebagai satu kerjaya pada masa depan kerana bidang tersebut mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka bergelar atlet bertaraf profesional.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata tidak ramai yang sedar bahawa sukan juga boleh menjamin masa depan cerah dan boleh menjana pendapatan yang lumayan.
“Saya mengingatkan kepada para pemain yang mempunyai minat dalam pelbagai jenis sukan agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tempat sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa kerana apabila sudah sampai ke tahap tersebut para pemain boleh menikmati insentif yang lumayan.
“Jadi, saya sarankan pelajar beri tumpuan dan perhatian kepada cita-cita mereka bermula dari sekarang. Jika mahu jadi atlet profesional, usahakan dan anak-anak boleh pergi jauh kerana negeri kita ada sekolah sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Badminton 10 tahun kebawah (TKB), 12TKB dan 15 TKB Peringkat Bahagian Sri Aman dan Betong di Dewan Tertutup KompleksĀ SukanĀ Sri Aman, baru-baru ini.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Kelab Badminton Simanggang (SBC) itu melibatkan sebanyak tujuh buah sekolah menengah dan lapan sekolah rendah dari Bahagian Sri Aman dan Betong berentap merebut gelaran juara dalam kategori lelaki dan wanita.
Mengulas lanjut, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata nama seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Azizul Hasni Awang serta anak Sarawak sendiri, Pandelela Rinong adalah antara ikon besar sukan di Malaysia.
“Mereka mencipta nama menerusi bakat dan minat mendalam melalui sukan diceburi. Hasilnya, mereka menjadikan sukan sebagai punca pendapatan dan memberikan fokus secara sepenuh masa sebagai kerjaya,” katanya.
Harden turut menyeru agar kelab SBC ini mempromosikan kepada masyarakat setempat bagi menarik lebih ramai ahli.
“Saya sangat optimis SBC boleh mengeluarkan pemain Badminton pelapis dari Bahagian Sri Aman dan Betong jika sekiranya usaha bersungguh-sungguh berterusan menyediakan aktiviti latihan dan klinik badminton diadakan secara berkala dan memberi tumpuan kepada golongan sasar dari kalangan pelajar sekolah,” tambahnya.
Pada majlis tersebut Harden telah memaklumkan bahawa peruntukkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 bagi tahun 2024 sedang menunggu untuk diserahkan manakala bagi tahun 2025 beliau telah meluluskan peruntukkan MRP kepada Kelab SBC berjumlah RM20,000 sebagai sumbangan untuk membiaya aktiviti kelab.